Tiada keretakan hubungan GRS-BN, ulangi Bung

Tiada keretakan hubungan GRS-BN, ulangi Bung

Kota Kinabalu: Tiada keretakan dalam hubungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN) Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan dakwaan ‘perang’ sebelum ini sebagai lumrah dalam politik.

“Kerjasama antara kita berjalan dengan baik. Begitulah politik, kadang-kadang perlu. InsyaAllah, kalau rakyat mahu aman kita aman,” katanya ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2023, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan, Bung Moktar berkata beliau berharap agar ia dapat mengutamakan kemakmuran negara serta rakyatnya.

“Sudah tentu saya ingin melihat bahawa Kerajaan Perpaduan yang disatukan oleh Yang di-Pertuan Agong ini mampu memastikan nasib rakyat terbela serta ekonomi negara dapat dipulihkan.

“Nama pun perpaduan, bermakna semua boleh menyertai. Oleh itu, saya mengalu-alukan mana-mana parti yang ingin menyertai Kerajaan Perpaduan ini.

Terdahulu, Bung mendakwa bahawa GRS telah melanggar perjanjian kerjasama di antara kedua-dua pihak itu apabila menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

-Deasoka

Share

Written by:

error: Content is protected !!