Kaut gamat dengan peralatan tidak dibenarkan, tujuh ditahan

Kaut gamat dengan peralatan tidak dibenarkan, tujuh ditahan

Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan daerah ini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot nelayan berkenaan dikesan ketika Kapal KM Bistaro sedang menjalankan rondaan rutin.

Peralatan yang tidak dibenarkan dirampas.

Katanya, ia dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Pulau Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Gamat yang ditangkap menggunakan peralatan tidak dibenarkan.

“Bot yang berpangkalan di negeri Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima orang kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia,”
katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun dan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot nelayan ditahan kerana melakukan aktiviti perikanan tanpa permit di perairan Labuan.

Katanya, bot dan nakhoda kapal bersama semua kru ditahan untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut.

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

“Komuniti maritim turut dinasihatkan untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|