Beri ruang kepada Anwar menjadi PM – Shafie

Beri ruang kepada Anwar menjadi PM – Shafie

Kota Kinabalu: Beri ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perpaduan merupakan aspek penting dalam memastikan kita dapat mengambil langkah ke hadapan.

“Kita kena bagi ruang kepada beliau (Anwar) untuk memimpin negara ini, kerana beliau juga mempunyai pengalaman.

“Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan agar kita wujudkan satu penyatuan sebagai tunggak. Perpaduan penting untuk negara ini melangkah ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2023, semalam.

Diminta mengulas mengenai Warisan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, beliau berkata ini bukan kali pertama mereka menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita sudah ada pengalaman kerjasama bersama PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Malah, kita dan Barisan Nasional (BN) merupakan antara yang pertama menyuarakan sokongan kepada Anwar,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tawaran jawatan kanan untuk beliau pada peringkat Persekutuan, Shafie menafikan perkara tersebut.

“Saya tidak ada dengar apa-apa… Saya belum pun berjumpa dengan beliau (Anwar), saya akan jumpa beliau pada minggu hadapan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|