Parti KDM sokong Hajiji dan GRS terus terajui kerajaan negeri

Parti KDM sokong Hajiji dan GRS terus terajui kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda, berkata ia selaras dengan ketetapan dan pendirian Hajiji serta GRS yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Katanya, Anwar sendiri mengesahkan pendirian GRS itu pada perjumpaan khas Parti KDM bersama Perdana Menteri yang diketuai Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, semalam.

“Perdana Menteri juga menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui dan mentadbir Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada Kerajaan Perpaduan

“Justeru itu, Parti KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti ini menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wetrom yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tumpuan perlu diberikan kepada usaha membangunkan negeri dan negara serta rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“PRU15 baru sahaja selesai, kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut sama disokong dan didokong oleh Barisan Nasional (BN), GRS, KDM dan lain-lain parti bersama-sama membangun negara, negeri dan rakyat.

“Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat dan negeri Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar yang amat memerlukan pembangunan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebelum ini Khamis menzahirkan keyakinannya bahawa kerajaan negeri dan persekutuan boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan, termasuk usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semalam, Anwar dalam sidang medianya di Putrajaya memaklumkan penyertaan GRS yang membolehkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya mencapai sokongan dua per tiga Ahli Parlimen.

Semalam juga, ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan mereka kepada Hajiji untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang yang berbaki tiga tahun lagi.

Sokongan itu dinyatakan mereka ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Hajiji di DUN Sabah.

Kunjungan itu diketuai ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan turut disertai ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, Jannie Lasimbang (Kepayan), Peto Galim (Inanam) dan Tan Lee Fatt (Likas).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|