HOM ketiga tingkat pengawasan maritim TLDM Sabah, Sarawak

HOM ketiga tingkat pengawasan maritim TLDM Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Helikopter Operasi Maritim (HOM) Agusta Westland 139 sah menjadi aset terbaharu yang dioperasikan Skuadron 503 dengan ‘callsign’ TANOM 3.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, perolehan aset udara itu adalah bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mohd Reza meneliti keupayaan senjata yang ada pada HOM Agusta Westland 139.

Katanya, ia selari dengan misi memperkasakan lagi pengawasan maritim Sabah dan Sarawak.

“Penyerahan ini melengkapkan kontrak perolehan tiga helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020.

“Memandangkan kebanyakan aset TLDM masih dihimpit isu keusangan dengan kebanyakan kapal yang sudah berusia melebihi 30 tahun, perolehan HOM AW139 ini dianggap sebagai suatu langkah positif Kerajaan Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi semasa TLDM,” katanya.

HOM Agusta Westland 139 tingkatkan pengawasan perairan Sabah, Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan HOM ketiga yang berlangsung di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu semalam.

Dalam majlis terbabit, Sijil Serah Terima HOM ketiga ditandatangani oleh Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd Datuk Shamsul Kamar Samsudin bersama Mohd Reza.

Terdahulu, dua buah HOM AW139 diterima pada April 2022 dan dioperasikan secara rasmi oleh Skuadron 503 mulai 1 Julai lalu.

Manakala HOM AW139 ketiga pa selamat tiba di Kota Kinabalu pada 29 Oktober sebelum diserahkan secara rasmi semalam.

Mohd Reza berkata, sebagai mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik dan semangat kepahlawanan di negeri di bawah bayu ini, ketiga-tiga HOM AW139 didaftarkan dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom.

Katanya Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘menjejak menggempur’ dalam Bahasa Dusun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|