Kejohanan Snuker Jemputan TKC 2022 platform pertembungan bakat baharu dan lama

Kejohanan Snuker Jemputan TKC 2022 platform pertembungan bakat baharu dan lama

Kota Kinabalu: Selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, Kejohanan Snuker Jemputan The Kinabalu Club (TKC) 2022 kembali meneruskan tradisi sebagai platform pertembungan pemain-pemain handalan tempatan bagi edisi ke-13 pada 9 hingga 18 Disember ini.

Pengerusi Kejohanan, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kejohanan snuker terbesar di negeri ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan sukan itu di negeri ini.

“Penganjuran kejohanan tahunan ini menggambarkan usaha berterusan TKC dalam mempromosikan sukan snuker di Sabah.

“Ia juga bertujuan untuk mengalakkan penglibatan generasi muda dalam sukan ini, sekali gus melahirkan pelapis pada masa hadapan.

“Kejohanan ini juga disokong sepenuhnya oleh Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF),” katanya pada sidang media Kejohanan Snuker Jemputan TKC di The Kinabalu Club, hari ini.

Brandon berkata, orang ramai termasuk yang bukan ahli kelab juga dialu-alukan datang menyaksikan kejohanan yang akan berlangsung di premis TKC yang juga merupakan kelab snuker tertua negeri ini.

“Setakat ini, kita telah menerima sebanyak 40 penyertaan daripada beberapa daerah di seluruh negeri, antaranya ialah Tawau, Kudat, dan Kuala Penyu.

“Secara keseluruhannya, kita mensasarkan seramai 60 hingga 80 peserta pada kali ini dan kita masih lagi menerima penyertaan daripada mereka yang berminat,” katanya.

Sementara itu, katanya, kejohanan pada kali ini menawarkan hadiah wang tunai yang terbesar membabitkan nilai keseluruhan RM10,000.

“Juara akan menerima wang tunai RM4,500 dan trofi, Naib Johan akan menerima RM 2,000 dan trofi, sementara peserta yang layak ke Separuh Akhir akan menerima RM500 setiap satu, Suku Akhir menerima RM250 setiap satu dan 16 terakhir menerima RM100 setiap satu.

“Turut ditawarkan adalah hadiah istimewa bernilai RM700 untuk pemain dengan ‘Highest Break’, dengan tambahan RM500 diberikan untuk `Highest Century Break’,” katanya lagi.

Lebih menarik, barisan peserta kali ini turut menampilkan penyandang gelaran juara, Nealson Low; penyandang gelaran juara enam kali kejohanan itu, Sheldon Senagang, Frankie Kok dan Teo Kin Vui.

Bagi mana-mana pihak yang berminat boleh menghubungi 016-6404514 (Brandon) untuk mendaftar, sehingga tarikh tutup pada 2 Disember ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|