PBRS sokong Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM

PBRS sokong Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua, berkata berikutan itu pihaknya menyokong cadangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii agar semua pelantikan dalam kerajaan Pusat dibuat mengikut hierarki parti.

“Sebagai rakan utama dalam Kerajaan Perpaduan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi layak dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

“Menyokong cadangan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii, kita mengambil pendekatan agar semua pelantikan dalam kerajaan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut hierarki parti melalui perundingan yang telah membolehkan pembentukan kerajaan baharu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fredie berkata, sebagai Pengerusi BN dan rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid bukan sahaja layak tetapi cadangan melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri juga mengambil kira pengalaman luasnya dalam mentadbir negara.

Berhubung kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid pula, beliau berkata ia wajar dilihat sebagai antara cabaran yang perlu ditangani wakil rakyat dengan keyakinan bahawa proses mahkamah akan dilaksanakan dengan seadil-adilnya.

“Selagi proses mahkamah belum selesai, maka YB Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk, belum disabitksn kesalahan.

“Justeru itu, beliau berhak untuk dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri mengikut hierarkinya sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Sebelum ini, Anwar menjelaskan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri bakal diwujudkan dalam Kabinet yang diketuainya, masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku blok parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|