Tambahan peruntukan ADUN dapat bantu lebih ramai rakyat memerlukan

Tambahan peruntukan ADUN dapat bantu lebih ramai rakyat memerlukan

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menyifatkan peningkatan peruntukan ADUN kerajaan kepada RM3 juta bagi program pembangunan kawasan pada tahun depan sebagai berita baik yang dapat memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

Katanya, jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 50 peratus daripada peruntukan ADUN yang diberikan pada tahun ini.

“Ini adalah satu gambaran baik dan positif tentang betapa kukuhnya kewangan dan ekonomi kita, perlahan-lahan mulai pulih dari masalah dan dugaan yang melanda.

“Pastinya jumlah ini akan dapat dimanfaatkan kepada lebih ramai rakyat di setiap kawasan ADUN kita, syukur alhamdulillah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Amisah, Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah sebuah kerajaan yang mempunyai keupayaan dan jalinan kerjasama erat serta berfokus.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuainya itu mempunyai keunikan dan asas yang kukuh dalam membawa perubahan serta membangunkan negeri dan rakyat Sabah.

“Kita tengok dari segi perkhidmatan awam negeri, kerajaan akan memberikan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima sebanyak RM1,000.

“Manfaat ini akan mulai dibayar pada Januari 2023 dan pastinya ini adalah satu bonus atau rezeki kepada penjawat awam kita yang sudah banyak berbakti dan berkhidmat dalam melancarkan urusan seharian di semua agensi dan perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Saya yakin, ini adalah satu pertimbangan yang amat baik dan keprihatinan Kerajaan Negeri GRS kepada semua penjawat awam dalam negeri ini,” katanya.

Tambah Amisah lagi, peruntukan sebanyak RM120 juta bagi membina rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun depan juga adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu perumahan rakyat di Sabah.

“Peruntukan ini disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat-Pejabat Daerah Kecil yang bertujuan untuk memberi tumpuan kepada program membasmi kemiskinan.

“Selain itu, ini juga adalah antara usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah golongan sasar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|