ADUN PH Sabah nyatakan sokongan dan kerjasama kepada Hajiji

ADUN PH Sabah nyatakan sokongan dan kerjasama kepada Hajiji

Kota Kinabalu: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam kunjungan itu, mereka menyatakan sokongan dan kerjasama kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga penggal DUN sekarang berakhir pada 2025.

Kunjungan itu diketuai ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan turut dihadiri Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Peto Galim (Inanam) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Ketika ditanya media, Ewon berkata beberapa perkara dibincangkan termasuk penyertaan dan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga penyertaan ADUN PH Sabah dalam kerajaan negeri.

“Semua ADUN PH Sabah mengalu-alukan sokongan GRS dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan sepertimana diumumkan Perdana Menteri hari ini. ADUN PH Sabah juga menyatakan sokongan kepada Datuk Hajiji dan seterusnya kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dan perjuangan hak-hak Sabah dapat dijayakan bersama,” katanya.

Ewon turut menyatakan terima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan ADUN PH dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah bermula pada tahun depan.

“Bagi saya dan ADUN PH Sabah, kita tidak mahu terlalu banyak politik sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan. Di peringkat Persekutuan, kita membentuk Kerajaan Perpaduan dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Hajiji hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2023 sempena Persidangan DUN yang bermula hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|