PH Sabah desak kerajaan kecam kenyataan Senator Filipina

PH Sabah desak kerajaan kecam kenyataan Senator Filipina

Kota Kinabalu: Pakatan Harapan (PH) Sabah meminta kerajaan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dikeluarkan seorang Senator Filipina yang meminta kerajaan negaranya merebut peluang meneruskan tuntutan terhadap Sabah.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, PH Sabah berkata gesaan Senator negara terbabit terhadap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berikutan keputusan timbang tara yang dituntut pihak mendakwa waris Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia tidak boleh dibiarkan.

PH Sabah berkata, kenyataan Senator Francis Tolention itu, yang turut menyatakan bahawa seramai 750,000 rakyat Filipina hidup tanpa faedah kesihatan, keselamatan sosial dan tanpa kewarganegaraan ada di Sabah sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

“Kami yakin bahawa angka itu sebenarnya jauh lebih tinggi. Bagaimanapun, jumlah 750,000 itu adalah masih sangat tinggi dan perkara ini seharusnya diambil serius oleh kerajaan Malaysia.

“Sekiranya kenyataan itu adalah benar, apakah tindakan kerajaan persekutuan untuk menangani perkara ini?

“Memandangkan Senator Tolentino mengakui bahawa mereka adalah warga Filipina dan tanpa kewarganegaraan di Sabah, jelas menggambarkan bahawa golongan itu adalah pendatang tanpa izin (PATI) yang harus dihantar pulang.

“Oleh itu, kerajaan Filipina mesti bersedia dan sanggup untuk menerima mereka kembali,” kata kenyataan bersama PH Sabah, di sini, hari ini.

PH Sabah berkata, kenyataan yang dikeluarkan seorang wakil rakyat Senat Filipina itu amat berbahaya dan tindakan beliau untuk mencabar kedaulatan negara ini secara terbuka adalah satu ancaman terhadap keselamatan Sabah dan rakyatnya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kenyataan ini boleh mencetuskan kebencian dan kemarahan warga Filipina yang semakin meningkat terhadap kerajaan Malaysia dan Sabah kerana wujudnya dakwaan bahawa mereka yang berada di Sabah menerima layanan buruk dan dinafikan akses kepada kemudahan kesihatan dan faedah keselamatan sosial.

“Tuntutan berterusan terhadap Sabah adalah gambaran kegagalan berterusan kerajaan Malaysia untuk benar-benar memahami dan menyelesaikan secara tuntas masalah kehadiran empat kategori pendatang Filipina di rantau ini yang semakin meruncing iaitu pelarian, orang tanpa kerakyatan, PATI dan mereka yang memperoleh kad pengenalan Malaysia secara haram,” katanya.

PH Sabah mempersoalkan berapa banyak lagi ancaman terhadap Sabah dan rakyatnya harus dibuat supaya kerajaan persekutuan mengambil usaha yang serius untuk memutuskan penyelesaian yang komprehensif dan tegas terhadap masalah yang sekian lama dibiarkan berterusan itu.

“Baru-baru ini kita telah melihat keputusan timbang tara dibuat terhadap kerajaan Malaysia dan kini seorang Senator secara terbuka menuntut kerajaannya untuk meneruskan tuntutan mereka terhadap Sabah,” katanya.

Kenyataan bersama PH Sabah itu mewakili Pengerusinya, Datuk Christina Liew; Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|