1,890 benih ketam bakau dilepaskan di Marudu Laut

1,890 benih ketam bakau dilepaskan di Marudu Laut

Kota Marudu: Sebanyak 1,890 benih ketam bakau dilepaskan di Kampung Marudu Laut dalam sebuah program anjuran Jabatan Ketua Menteri, Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah.

Penganjuran program itu bertujuan untuk melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan populasi ketam bakau di daerah berkenaan.

Sitti Raehannah (kiri) memberi penerangan berkaitan benih ketam kepada Wetrom (kanan).

Pengarah IPMB UMS, Prof Madya Ts Dr Sitti Raehannah Muhammad Shaleh berkata, benih ketam yang dilepaskan terdiri daripada spesies Scylla tranquebarica (ketam bakau atau ketam nipah sepit ungu) yang dihasilkan di Hatceri Krustasia IPMB.

“Benih yang dilepaskan bersaiz antara 5mm hingga 25mm lebar karapas dan berumur sekitar lapan minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia.

“Spesies ketam bakau Scylla tranquebarica dipilih untuk pembenihan kerana ia merupakan spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah termasuklah di kawasan Kota Marudu.

“Untuk makluman, 78 peratus populasi ketam bakau di Kota Marudu adalah Scylla tranquebarica, 13 peratus Scylla paramamosain, ketam nipah sepit kuning dan lapan peratus Scylla olivacea, ketam nipah sepit merah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sitti Raehannah berkata, program pelepasan benih ketam bakau itu merupakan program pelepasan yang julung kali dilaksanakan di Kota Marudu.

“Kajian biologi ketam bakau pernah dilakukan oleh penyelidik dari IPMB di sini diketuai Prof Madya Dr Annita Yong Seok Kian pada 2011 sehingga 2014.

“Bagi kawasan Teluk Marudu menunjukkan bahawa musim bertelur bagi ketam bakau di kawasan Kota Marudu adalah di antara bulan Februari sehingga Mei.

“Bilangan ketam betina dilaporkan menurun pada bulan Mac dan Jun yang mana berkemungkinan proses pemijah berlaku pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut, Sitti Raehannah memaklumkan bahawa hasil kajian itu juga menunjukkan terdapat trend penuruan populasi ketam bakau di kawasan Kota Marudu.

“Maklumat tentang komposisi dan taburan spesies serta hasil tangkapan perikanan ketam bakau itu sangat berguna untuk pengurusan sumber perikanan ketam bakau di Sabah khususnya di kawasan tersebut.

“Justeru, adalah diharapkan agar program pelepasan benih ketam bakau ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Program pelepasan itu telah disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda.

Untuk rekod, program pelepasan benih ketam IPMB telah dimulakan pada 2019 yang menyaksikan benih ketam bakau dilepaskan di Sulaman Wetland dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.

Pada Julai lalu, sebanyak 2,600 benih ketam bakau turut dilepaskan di Tasik Sitompok Kuala Penyu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|