PBS ada cara sendiri lantik ketua – Dr Joachim

PBS ada cara sendiri lantik ketua – Dr Joachim

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai caranya sendiri untuk memilih pemimpin bagi mengetuai parti, kata Timbalan Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Katanya, PBS tidak meletakkan faktor usia dalam pemilihan pemimpin yang akan mengetuai parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata PBS melihat keupayaan seseorang pemimpin untuk mengetuai parti dengan lebih baik.

“PBS ada cara sendiri melantik ketua tidak kira berapa muda atau umur seseorang pemimpin itu.

“Bagi PBS, ia adalah bagaimana seseorang itu mengetuai parti dengan positif dan lebih baik,” katanya selepas melancarkan Festival Kopi Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyerahkan teraju kepemimpinan parti kepada pemimpin muda.

Kelmarin, UPKO mengumumkan Naib Presidennya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick bakal mengambil alih jawatan Presiden daripada Datuk Madius Tangau bermula bulan depan.

Ewon, 39, bakal menjadi pemimpin termuda dilantik presiden parti di Sabah berbanding parti lain yang majoritinya diketuai pemimpin senior.

Mengulas kesan langkah itu terhadap Undi 18 atau pertambahan pengundi muda bermula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dr Joachim berkata perkara itu tidak timbul dalam menentukan kepemimpinan parti.

“Walaupun ada Undi 18 tapi yang penting ialah apa pendirian parti. Prinsipal parti lebih penting berbanding individu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|