Cubaan pihak mengaku waris Kesultanan Sulu langgar peraturan timbang tara – Wan Junaidi

Cubaan pihak mengaku waris Kesultanan Sulu langgar peraturan timbang tara – Wan Junaidi

Kota Kinabalu: Percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Kerajaan Malaysia di Belanda adalah satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pendirian Kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

Tambahan pula, katanya perintah yang
diperoleh itu sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi yang serius kepada kestabilan negara lain.

Beliau berkata, perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab tertentu.

“Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada negara Sepanyol ke negara Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

“Walau bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan tindakan
terkini pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik Petronas.

Wan Junaidi menegaskan aset Petronas bukanlah milik Kerajaan Malaysia dan permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset-aset tersebut dilihat sebagai suatu pencabulan proses mahkamah.

Katanya, sebagai tindakan balas, Malaysia meneruskan prosiding Mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan dan membatalkan perintah berkaitan.

“Kerajaan yakin bahawa penyelesaian prosiding mahkamah tersebut akan menyebelahi Malaysia.

“Selanjutnya, kerajaan telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Dalam masa yang sama, kerajaan melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan yang serupa di Belanda untuk mengenepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah
Yang dikeluarkan mahkamah.

“Malaysia menghormati dan bangga menganggotai Konvensyen New York. Namun, Malaysia tidak akan sama sekali bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalahguna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

“Justeru, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|