Kes Ebit Lew: MRM sedia tiket penerbangan, penginapan kepada mangsa

Kes Ebit Lew: MRM sedia tiket penerbangan, penginapan kepada mangsa

Tenom: Saksi ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, Multiracial Reverted Muslims (MRM) memberi pelbagai bantuan kepada pengadu (identiti tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah) dalam kes itu.

Perkara itu dijelaskan Firdaus atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada prosiding hari ini.

Firdaus ketika hadir sebagai saksi pendakwaan perbicaraan kes Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.

“Kami di MRM telah memberikan bantuan kepada pengadu dengan membelikan tiket penerbangan serta penginapan bagi beliau dan suaminya selain menawarkan khidmat bantuan lain seperti guaman, kaunseling, rawatan Islam dan sebagainya jika diperlukan,” katanya.

Ketika diminta menjelaskan mengenai jadual penerbangan dan penginapan yang telah diberikan kepada pengadu, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa ia adalah tiket penerbangan pergi dan balik pengadu serta suaminya antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

“Pengadu dan suami terbang ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Malaysia Airlines pada 6 Ogos 2021 kemudian berlepas pulang ke Kota Kinabalu pada 8 Ogos 2021 dan mereka telah menetap di sebuah hotel di Kuala Lumpur,” katanya.

Firdaus kemudian turut diminta menjelaskan kepada mahkamah, khidmat kaunseling dan rawatan Islam bagaimana yang diberikan kepada pengadu.

“Khidmat kaunseling kepada pengadu dan suaminya serta rawatan Islam adalah untuk memberikan semangat dan keluar dari trauma yang dialami,” katanya.

Dalam prosiding sama, Firdaus memberitahu mahkamah dia telah menerima gambar kemaluan lelaki dan tangkap layar mesej lucah yang dihantar oleh saksi pertama iaitu Mohd Fairuz Abu.

Menjelaskan perkara itu, Firdaus berkata, gambar dan mesej itu dihantar kepadanya oleh Fairuz yang dikongsikan oleh pengadu dalam kes ini.

“Setelah Akhi Fairuz memaklumkan kepada saya bahawa pengadu telah menerima mesej-mesej serta gambar lucah daripada Ebit Lew, beliau telah berkongsi dengan saya gambar dan beberapa tangkap layar mesej lucah dari Ebit Lew yang diterima pengadu,” katanya.

Perbicaraan ditangguhkan pada jam 11.30 pagi tadi dan mahkamah menetapkan 20 hingga 22 Disember depan sebagai tarikh baharu untuk perbicaraan kes itu.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakawan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|