Dr Kasim Naib Canselor baharu UMS

Dr Kasim Naib Canselor baharu UMS

Kota Kinabalu: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur, sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, berkuat kuasa mulai 3 Oktober 2022.

Kasim, 61 adalah anak kelahiran Sabah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin, Amerika Syarikat.

Beliau sebelum ini pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun dari t2009 hingga 2014.

Kasim adalah seorang tokoh akademik yang sangat disenangi dalam kalangan pegawai dan pelajar UMS.

Di peringkat negeri Sabah, beliau memberi sumbangan yang signifikan kepada rakyat Sabah sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah (IDS).

KPT dalam kenyataannya menyebut, berdasarkan reputasi kepimpinan institusi yang dimilikinya, Kasim berkemampuan untuk membentuk jaringan hubungan kerja yang harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di Sabah.

Katanya kenyataan itu, KPT juga yakin beliau mampu meneraju UMS sebagai salah sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan.

“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin atas jasa bakti beliau menerajui UMS sebelum ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|