PGA rampas minyak sawit tanpa permit

PGA rampas minyak sawit tanpa permit

Sandakan: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori selepas didapati membawa muatan minyak kelapa sawit tanpa permit sah di kawasan Kampung Gum-Gum, Batu 16, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 4,800 liter minyak sawit yang dianggarkan bernilai RM40,000.

Tong berisi minyak kelapa sawit yang dirampas.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, rampasan dijalankan pegawai dan anggota Tiger Platon dan Unit Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan.

Katanya, ia berjaya dikesan ketika rondaan PGA di kawasan kampung berkenaan yang terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan Batalion 15 PGA Sandakan memeriksa lori yang membawa muatan minyak kelapa sawit tanpa permit.

“Sebaik dihampiri, dua individu dilihat keluar dari lori terus melarikan diri ke kawasan semak dan gagal ditemui.

“Pemeriksaan lori tiga tan yang ditinggalkan itu menemukan enam tong berisi minyak kelapa sawit mentah dan setiap tong berisi 800 liter di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas biru gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, minyak kelapa sawit mentah yang ditemui itu dipercayai dibawa ke daerah ini untuk diproses sebagai minyak masak bagi pasaran tempatan serta cuba diseludup keluar ke sempadan negara.

“Semua rampasan membabitkan minyak sawit mentah dan lori yang ditinggalkan dianggarkan bernilai keseluruhan RM122,600 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua rampasan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk laporan. Kes masih dalam proses rujukan serahan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|