Covid-19 Sabah: Hanya 65 kes hari ini, terendah dalam tempoh setahun

Kota Kinabalu: Sabah hanya mencatat 65 kes baharu jangkitan harian Covid-19 hari ini, menjadikannya angka terendah dalam tempoh hampir setahun iaitu sejak 18 Mei tahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunun kes yang banyak hingga di bawah 100 berbanding 124 kes semalam itu didorong pelbagai faktor.

Katanya, dua faktor utama yang dikenal pasti ialah penurunan kes yang besar di beberapa daerah dan catatan kes yang kecil iaitu hanya satu angka atau sifar kes di kebanyakan daerah kecuali di Kota Kinabalu yang masih mencatat dua angka iaitu 16 kes.

“Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada jumlah jangkitan harian yang rendah di Sabah hari ini. Pertama, penurunan kes baharu dalam jumlah yang agak besar di beberapa daerah dan kedua, kenaikan kecil atau marginal di daerah yang merekodkan pertambahan kes baharu.

“Antara daerah yang merekodkan penurunan kes baharu yang agak besar ialah Kota Kinabalu dengan penurunan 17 kes, diikuti Penampang yang turun 12 kes dan masing-masing turun lapan kes di Putatan serta Beaufort.

“Walaupun ada sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes baharu tetapi enam daripadanya hanya merekodkan pertambahan satu kes berbanding semalam,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Secara keseluruhan, Masidi berkata sebanyak 16 daerah mencatat kes satu angka dengan 13 daripadanya hanya mencatat kes baharu antara satu hingga empat kes.

Beliau berkata, sebanyak 10 daerah lagi tidak mencatat sebarang kes baharu iaitu di Beluran, Telupid, Ranau, Kinabatangan, Kota Marudu, Nabawan, Keningau, Beaufort, Tongod dan Putatan.

Bagaimanapun, Masidi mengingatkan, Sabah masih mencatat jangkitan secara sporadik yang tinggi iaitu sebanyak 55.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan hari ini.

Daripada 65 kes hari ini, katanya sebanyak 59 dikenal pasti berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, diikuti masing-masing dua kea dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan semua agensi kerajaan yang terbabit dalam pengurusan pandemik Covid-19 di Sabah, saya ingin merakamkan terima kasih kepada rakyat negeri ini yang mempamerkan disiplin tinggi dalam mematuhi semua prosedur operasi stabdard (SOP).

“Sikap ini sudah pasti membantu kerajaan mengurus penularan Covid-19 dengan lebih berkesan. Lebih daripada itu, saya merakamkan jutaan terima kasih dan sanjungan budi kepada semua ‘frontliners’ kita yang bekerja siang dan malam bagi menjamin keselamatan kesihatan penduduk negeri ini,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 11 April 2022
Sabah 65 (124)

Kota Kinabalu 16 (33)
Papar 9 (11)
Tuaran 8 (14)
Penampang 6 (18)
Sandakan 4 (3)
Kudat 4 (3)
Pitas 3 (1)
Kota Belud 3 (3)
Tambunan 2 (1)
Kuala Penyu 2 (5)
Tenom 2 (5)
Semporna 1 (0)
Lahad Datu 1 (1)
Kunak 1 (0)
Sipitang 1 (4)
Tawau 1 (1)
Kalabakan 1 (0)
Beluran 0 (0)
Telupid 0 (0)
Ranau 0 (2)
Kinabatangan 0 (1)
Kota Marudu 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Keningau 0 (1)
Beaufort 0 (8)
Tongod 0 (0)
Putatan 0 (8)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 10 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|