Petugas kesihatan kecewa tiada ibu bapa bawa anak dapatkan vaksin di Pulau Timbang

Petugas kesihatan kecewa tiada ibu bapa bawa anak dapatkan vaksin di Pulau Timbang

Sandakan: Pengorbanan petugas kesihatan yang terpaksa menempuh perjalanan laut kira-kira setengah jam ketika hujan, semata-mata untuk menjalankan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Pulau Timbang, di sini, hanya sia-sia, selepas tiada seorangpun kanak-kanak datang mendapatkan suntikan.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, pihaknya sangat terkejut dan kecewa dengan keadaan berkenaan.

Petugas kesihatan yang hadir untuk menjalankan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Pulau Timbang.

Katanya, ketiadaan seorangpun penerima vaksin kanak-kanak dalam program itu adalah kali pertama berlaku sepanjang PICKids dilaksanakan.

“Saya berasa sangat kecewa dan rasa agak terkejut kerana tiada sambutan langsung pada hari ini membabitkan kanak-kanak di kampung ini walaupun saya sendiri tadi telah membuat pengumuman melalui speaker ataupun mikrofon di masjid.

“Saya sendiri juga pergi di rumah ke rumah tadi, nampaknya sambutan tidak memberangsangkan dan tidak baguslah. Jadi daripada 10 lokasi yang kita datang, inilah kali pertama tiada kanak-kanak yang datang langsung.

“Ada di beberapa tempat yang lain itu yang kecil jumlahnya, tapi sekurang-kurangnya ada sikit peratusan yang datang untuk mengambil vaksin,” katanya kepada media di Pulau Timbang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memulakan program itu pada jam 9 pagi dan terpaksa menutup semua kaunter pada jam 12 tengah hari apaba tiada penerima vaksin kanak-kanak yang hadir.

Katanya, pihak sekolah di pulau itu juga sudah dimaklumkan mengenai program berkenaan, selain turut mengadakan promosi dan kempen kepada penduduk kampung dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, Dr Johari berkata hasilnya tetap hambar dan ibu bapa masih enggan membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan.

“Hanya empat orang dewasa yang hadir mendapatkan suntikan dos penggalak. Namun, kita menasihatkan penduduk di situ jika satu hari nanti terbuka hati mendapatkan vaksin untuk kanak-kanak, mereka diminta hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) IJM Sandakan atau di klinik kesihatan di bandar Sandakan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan jadual program PICKids di pulau itu, pihaknya sepatutnya datang dua kali memberi suntikan iaitu untuk pemberian dos pertama dan disusuli dos kedua sebulan kemudian.

Bagaimanapun, katanya disebabkan tiada kanak-kanak tampil untuk diberikan suntikan dos pertama, jadual yang ditetapkan terpaksa disemak semula.

Mengulas lanjut, beliau berkata situasi itu bagaimanapun tidak menyebabkan pihaknya berputus asa untuk meneruskan program vaksinasi Covid-19 di daerah ini.

Malah, katanya PICKids akan diteruskan seperti biasa dan pihaknya bertekad meningkat lagi promosi berkaitan vaksin supaya penduduk sedar kebaikannya.

“Kita akan terus mempromosikan kepada mereka, kami tidak akan rasa letih dan rasa penat. Kami tidak akan rasa kecewa sehingga tidak menggerakkan langsung aktiviti, kita akan teruskan lagi untuk memperkasa dan meneruskan hebahan kita kepada masyarakat,” katanya.

Setakat ini, katanya daerah Sandakan hanya mencatat 13.46 peratus daripada 46,800 orang kanak-kanak yang layak diberikan vaksin sudah menerima suntikan dos pertama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|