Pertikaian tanah Batu 12 Sandakan: Polis jalankan tugas pengiring ketika arahan mahkamah dilaksanakan

Pertikaian tanah Batu 12 Sandakan: Polis jalankan tugas pengiring ketika arahan mahkamah dilaksanakan

Sandakan: Kehadiran polis berhubung isu pertikaian tanah di Batu 12, di sini, seperti tular di media sosial hari ini adalah untuk menjalankan tugas pengiring berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, ia bagi menjamin keselamatan semua pihak ketika proses arahan Mahkamah dilaksanakan.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya menghormati keputusan mahkamah dan menegaskan bahawa tindakan boleh diambil jika melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

“Ia mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada iaitu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Iaitu sekiranya menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta tindakan mengapi-apikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu tindakan yang salah boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Azhar berkata, sekiranya ada mana-mana pihak yang terkilan, pihak polis boleh mengambil tindakan menjalankan siasatan mengikut dua peruntukan undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada pihak yang tampil membuat sebarang laporan polis berkaitan kesalahan yang dibuat oleh mana-mana pihak.

“Saya menasihatkan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah supaya melantik peguam dan membuat rayuan melalui proses perundangan yang ditetapkan,” katanya.

Kejadian berkaitan isu pertikaian tanah itu tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi sehingga menimbulkan pelbagai reaksi warganet.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|