Fasa peralihan endemik, pembukaan sempadan mulai 1 April

Fasa peralihan endemik, pembukaan sempadan mulai 1 April

Kota Kinabalu: Seluruh negara akan beralih ke fasa peralihan endemik Covid-19 serentak dengan pembukaan semula sempadan negara berkuatkuasa 1 April depan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan penilaian risiko.

Katanya, keputusan itu juga mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan dan Menteri Kuartet yang terdiri daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Azizi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Penting untuk saya maklumkan, Fasa Peralihan Ke Endemik ini adalah ‘exit strategy’ untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.

“Fasa ini juga adalah fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.

Sejajar dengan itu, katanya bermula 1 April depan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan ketika ini ditamatkan, selain ada juga yang dikekalkan.

Antara yang dikekalkan katanya ialah pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan.

Selain itu, beliau berkata pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera juga masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai.

“Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan. Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, bolehlah bersahur di luar.

“Aktiviti solat jemaah di masjid atau surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

“Walaubagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan atau Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” katanya.

Bagi keperluan vaksinasi, katanya had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi turut dimansuhkan.

Jelas Perdana Menteri, semua individu juga dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka mulai 1 April depan.

“Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had itu akan dimansuhkan secara menyeluruh.Tiada lagi had kapasiti 50 peratus, namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pembukaan sempadan negara dibuat bersandarkan tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, dikuti yang kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan ketiga memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Paling penting, katanya Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

“Sebaliknya, mereka hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, ada beberapa prosedur wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia atau pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Katanya, bagi yang sudah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

“Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

“Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|