Peter kekal pendirian tubuh parti baharu

Peter kekal pendirian tubuh parti baharu

Kota Kinabalu: Bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony kekal dengan pendiriannya untuk menubuhkan parti baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menjelaskan bahawa parti baharu itu sudahpun ditubuhkan.

Sehubungan itu, katanya beliau akan meneruskan halatuju politiknya.

“Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu (menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah.

“Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pelawaan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mempelawa beliau dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyertai parti itu.

Peter bagaimanapun mengalu-alukan kesatuan pemimpin Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah seperti yang berlaku dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini.

“Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing- masing.

“Kami akan terus berbincang untuk dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah,” ujarnya.

Menurut Peter lagi, sudah tiba masanya untuk semua berpadu dan bersama dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.

“Marilah kita berganding bahu, yang lepas itu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa agar menerusi `pisompuruan’ (kesatuan), Sabah akan maju jaya,” katanya.

Rabu lalu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mempelawa Peter dan Juil untuk menyertai STAR selepas kedua-dua ADUN itu mengumumkan keluar daripada WARISAN.

Peter memaklumkan akan menubuhkan parti baharu mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|