Peta risalah makanan laut Sabah dan Labuan dilancarkan

Peta risalah makanan laut Sabah dan Labuan dilancarkan

Sandakan: Tourism Malaysia Sabah melancarkan risalah pelancongan bertemakan gastronomi yang menyenaraikan restoran makanan laut di Sabah dan Labuan.

Pengarahnya, Ednie Rahma Ab Rahim berkata, risalah berkenaan dikenali sebagai Sabah and Labuan ‘seeeatfood’ trail fun map.

Ednie (dua kiri) melancarkan peta risalah pelancongan Sabah dan Labuan bertemakan gastronomi di Sandakan.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan satu usaha menarik pelancong ke Sabah dan Labuan yang terkenal sebagai syurga makanan laut ekoran kedudukan geografi kedua-dua wilayah berkenaan yang dikelilingi laut.

Katanya, kelebihan berkenaan menyebabkan makanan laut di Sabah dan Labuan lebih murah.

Risalah berkenaan juga katanya memiliki kod respon pantas yang boleh diakses dengan telefon mudah alih yang memudahkan pengguna mengakses maklumat berkaitan secara dalam talian.

“Orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR dengan telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini dan ia memang memudahkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program terbabit, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi mempromosikan lagi tempat-tempat makanan laut di Sabah dan Labuan, pihaknya turut menghasilkan kandungan interaktif melalui video yang akan dimuat naik ke laman sosial rasmi mereka.

Katanya, selain tempat menarik untuk menikmati makanan laut, risalah berkenaan turut mengandungi tempat-tempat pelancongan menarik di Sabah dan Labuan.

Justeru, Ednie berharap semua pihak dapat membantu mempromosikan risalah itu bagi menarik kehadiran pelancong ke Sabah dan Labuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|