50 perjawatan baharu WCB, kekang jenayah penyeludupan hiduran Liar

50 perjawatan baharu WCB, kekang jenayah penyeludupan hiduran Liar

Kota Kinabalu: Sebanyak 50 perjawatan baharu sudah diluluskan untuk memantapkan lagi Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WBC) bagi mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kelulusan yang diputuskan kerajaan pada pertengahan Julai lalu itu akan memberi impak berkesan dalam usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar khususnya.

Katanya, ia juga sekali gus dapat mengawal kegiatan pemburu haram dan aktiviti pemerdagangan serta melindungi spesies yang dilindungi atau terancam.

“Penubuhan WCB ini diharapkan dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar juga perlu diberikan perhatian dan tindakan penguatkuasaan yang proaktif, selari dengan jenayah konvensional dan bukan konvensional lainnya.

“50 anggota polis dan pegawai yang akan bertugas dalam biro berkenaan akan ditempatkan mengikut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Zazuli Johan.

Acryl Sani berkata, biro berkenaan akan menggunakan kepakaran polis dalam bersama-sama membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, ia bagi melumpuhkan kegiatan penyeludupan hidupan liar serta menyiasat sindiket yang terbabit dalam penyeludupan dan perdagangan hidupan liar.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, sejak penubuhan biro berkenaan, operasi penguatkuasaan dilihat semakin meningkat berdasarkan kepada statistik OBK yang merekodkan 60 kes dan 97 tangkapan membabitkan RM3,831,987.30 rampasan bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.

Katanya, ia jelas meningkat berbanding hanya 30 kes bagi 29 tangkapan membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM537,490 bagi tempoh masa sama tahun lalu.

“Kita percaya momentum ini dapat diteruskan dalam usaha mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) mengikut Agenda 2030, dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|