Sembilan anggota polis terbabit kes peras ugut belum dipindah ke Sabah, Sarawak – KPN

Sembilan anggota polis terbabit kes peras ugut belum dipindah ke Sabah, Sarawak – KPN

Kota Kinabalu: Sembilan anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kes peras ugut di Selangor baru-baru ini, belum lagi ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut berhubung anggota terbabit yang sebelum ini dilapor ditukar ke Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) dalam sidang media Sempena Operasi Bersepadu Khazanah (ONK), hari ini.

“Ini termasuk mengkaji semula apa juga berkaitan dengan perkara berkenaan (perpindahan sembilan anggota polis yang terbabit kes pemerasan).

“Apa juga maklumat berkaitan isu ini, nanti kita akan disalurkan melalui Unit Komunikasi Korporat PDRM,” katanya dalam sidang media Sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pihaknya akan mengambil maklum apa juga permintaan Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai isu ini.

“Ribuan terima kasih kepada maklum balas yang kami terima daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak

“Semua mereka (sembilan anggota polis) belum lagi dipindahkan ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilaporkan berkata, sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|