Persidangan DUN: Tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan Pusat – Jaujan

Persidangan DUN: Tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan Pusat – Jaujan

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat berhubung kerja-kerja membaiki dan membina jalan raya di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, ia kerana isu jalan raya masih menjadi isu yang besar di negeri ini.

Datuk Jaujan Sambakong

“Kerajaan Negeri perlu mempunyai langkah tersendiri dan kementerian ini perlu diperkasakan kerana soal jalan raya juga melibatkan keselamatan.

“Saya berpendapat, pihak kerajaan dalam perbelanjaan Bajet lebih RM5 bilion ini, Kementerian Kerja Raya harus ditambahkan peruntukan.

“Ini kerana, bukan sahaja peruntukan itu diperlukan untuk lebuh raya seperti Pan Borneo tetapi juga jalan raya diantara daerah yang dilihat sangat teruk dan memerlukan pembaikan segera.

“Jalan raya menjadi keperluan harian oleh masyarakat setempat, sekiranya keadaan ini tidak berubah, maka rakyat masih melihat kerajaan hari ini tidak membuat sesuatu bagi mengatasi masalah jalan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Selain itu, beliau turut memohon Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar Sabah yang telah disenaraihitamkan akibat kegagalan membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sekiranya boleh, Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan mampu membantu pelajar Sabah lepasan universiti yang disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia disebabkan kegagalan membayar pinjaman PTPTN.

“Ramai lepasan universiti ini gagal mencari kerja di luar negeri atau berniaga disebabkan disenaraihitamkan.

“Dijangkakan hampir 3,000 pelajar ini berhutang diantara RM10,000 sehingga RM15,000.

“Kerajaan negeri dipohon untuk membantu menyelesaikan perkara ini agar anak-anak yang disenaraihitamkan ini boleh berdikari dengan bekerja ditempat lain atau menjalankan perniagaan masing-masing,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|