Persidangan DUN: Ewon kemuka empat syor memperkasa pelaksanaan belanjawan negeri

Persidangan DUN: Ewon kemuka empat syor memperkasa pelaksanaan belanjawan negeri

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengemukakan empat syor bagi memperkasa pelaksanaan Belanjawan Sabah 2023.

Katanya, syor itu bukan hanya untuk pelaksanaan Belanjawan Negeri 2023 tetapi juga berkaitan dengan Belanjawan Persekutuan untuk Sabah bagi tahun depan.

“Syor pertama, saya ingin mengulangi cadangan saya selama ini untuk menubuhkan Jawatankuasa Antara Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan terutama hak 40 peratus hasil Sabah.

“Di blok kerajaan, pastinya proses perundingan akan diteruskan, sementara sebahagian kita pula telah ke mahkamah untuk menuntut hak Sabah ini.

“Dalam dinamik politik hari ini, kesatuan usaha sangat penting dan inilah masanya kita memperkasakan kesatuan kita untuk sama-sama menuntut hak ini.

“Kita boleh mencadangkan pemungutan hasil 40 peratus ini dengan hasil persekutuan yang mudah dihitung seperti cukai pendapatan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Ewon turut mencadangkan agar kerajaan negeri menerbitkan bon pembangunan yang dijamin oleh kerajaan persekutuan untuk membiayai pembangunan infrastruktur.

Katanya, syor keduanya itu menetapkan bahawa jika kerajaan persekutuan tidak dapat membayar sekali gus 40 peratus hasil persekutuan di Sabah, mereka perlu menjamin bon itu sebagai salah satu pendekatan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah itu.

Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mencadangkan agar satu akaun amanah diwujudkan bagi penyaluran peruntukan persekutuan.

“Syor ketiga saya ialah bagi Kerajaan Sabah menubuhkan akaun amanah khas bagi menyalurkan peruntukan-peruntukan persekutuan.

“Akaun amanah ini penting supaya tidak ada lagi istilah peruntukan dikembalikan kepada persekutuan pada setiap hujung tahun apabila projek tersebut tidak dilaksanakan.

“Peruntukan persekutuan tersebut memangpun untuk Sabah, jadi tidak ada sebab kenapa ianya perlu dikembalikan apabila satu-satu projek itu tidak dilaksana pada tahun tersebut.

“Apa yang penting ialah pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan projek yang lebih tegas dan efisien,” katanya.

Ewon menegaskan, kontraktor dan konsultan yang diberi mandat perlu melaksana projek dan ia mesti dipantau secara tegas oleh kerajaan supaya tiada projek yang bertangguh.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mencadangkan agar wakil rakyat mempengerusikan jawatankuasa pemantauan pelaksanaan projek di kawasan yang diwakili masing-masing.

“Syor keempat saya ialah bagi wakil rakyat sama ada ADUN atau Ahli Parlimen dibolehkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pemantuan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Tinggi di daerah atau kawasan yang diwakili masing-masing.

“Saya percaya banyak yang boleh diselesaikan di peringkat daerah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan, tetapi saya juga percaya masih ada perkara yang berada di luar bidang kuasa daerah.

“Jika ada perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka tanggungjawab Wakil Rakyat sebagai Pengerusi Jawatankuasa untuk membangkitkan perkara tersebut di Dewan Undangan, Dewan Rakyat atau lebih baik lagi di Kabinet,” katanya.

Ewon turut menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sesuai dengan dinamik pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|