Persidangan DUN: Kaji semula keperluan mewartakan kawasan Teluk Darvel

Persidangan DUN: Kaji semula keperluan mewartakan kawasan Teluk Darvel

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri digesa untuk mengkaji semula keperluan mewartakan kawasan Teluk Darvel di Lahad Datu di bawah Ordinan Taman Negara (Taman-Taman Sabah).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau risau ia akan memberi impak kepada mata pencarian orang kampung terutama nelayan.

“Saya juga menggesa pihak kerajaan negeri terutama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) agar mengkaji semula keperluan mewarta kawasan Teluk Darvel, Lahad Datu di bawah Ordinan Taman Negara (Taman-taman Sabah). Saya khuatir perkara ini menjejaskan mata pencarian orang kampung terutama para nelayan.

“Saya mencadangkan agar pihak kementerian dan agensi berkaitan mengadakan sesi libat urus (SLU) di Lahad Datu bersama penduduk kampung dan stakeholders terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, banyak inisiatif baik yang dirangka oleh pihak kerajaan untuk rakyat Sabah, antaranya sebanyak 1,500 unit rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan dibina pada tahun hadapan.

“Oleh itu, saya memohon agar projek Rumah SMJ tersebut dapat dibina di kawasan DUN Segama, serta seluruh DUN di bawah Lahad Datu kerana ini adalah keperluan rakyat.

“Projek bekalan air alternatif juga adalah suatu keperluan yang mendesak di kawasan saya seperti di Kampung Ulu Segama.

“Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat mengambil perhatian dan melaksanakan projek ini di Segama dengan kadar segera,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|