APM selamatkan dua pemancing hampir lemas

APM selamatkan dua pemancing hampir lemas

Kota Kinabalu: Dua pemancing diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas dilaporkan hampir lemas dalam kejadian di Pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 40-an yang tidak pandai berenang dilaporkan mengalami kekejangan otot serta trauma.

Pegawai Pertahanan Awam Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 1.20 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 400 meter daripada menara penyelamat APM.

“Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan menggunakan peralatan menyelamat di air ‘Surfboard Rescue’.

“Mangsa kemudiannya ditenangkan oleh pasukan operasi sebelum diberikan rawatan susulan oleh pihak ambulans yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hazle Shah berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang dan status operasi ini diklasifikasikan sebagai berjaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|