Persidangan DUN: Kemabong layak dinaiktaraf sebagai daerah penuh

Persidangan DUN: Kemabong layak dinaiktaraf sebagai daerah penuh

Kota Kinabalu: Sudah tiba masanya daerah kecil Kemabong dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh selepas hampir 30 tahun berstatus daerah kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang, berkata Kemabong kini layak dinaik taraf sebagai daerah penuh berikutan peningkatan penduduk dan perkembangan aktiviti ekonominya.

Datuk Rubin Balang

Katanya, kerajaan negeri perlu melihat perkara itu untuk kebaikan penduduk setempat yang bakal menerima pelbagai manfaat jika status Kemabong ditingkatkan kepada daerah penuh.

“Pengwujudan Daerah Kecil Kemabong berlaku pada tahun 1996 hasil jasa baik oleh ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee ketika beliau meneraju Kerajaan Negeri Sabah sebagai Ketua Menteri pada waktu itu.

“Kini, kami berpendapat sudah tiba masanya Daerah Kecil Kemabang dinaik taraf. Ianya layak kerana aktiviti ekonomi, sumber hasil pendapatan serta penduduk yang mencukupi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sementara itu, Rubin meminta kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di daerah Tenom dan Kemabong yang disifatkannya tidak seharusnya berlaku memandangkan daerah itu memiliki sumber air yang mencukupi.

“Walaupun Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong mempunyai sumber air yang mencukupi dari beberapa sungai, namun Jabatan Air tidak dapat membekalkan air bersih secukupnya.

“Malah, ia sama sekali tidak berupaya untuk menampung bekalan air seperti yang dikehendaki oleh rakyat di kedua-dua daerah ini, rakyat sangat kecewa dengan cara Jabatan Air mengendalikan pentadbiran dan pengurusan air di daerah ini.

“Sehubungan itu, saya mohon YB Menteri Kerja Raya mengambil perhatian yang serius, seterusnya mengambil tindakan segera,” katanya.

Rubin turut mencadangkan agar sistem paip graviti dilaksanakan sebagai alternatif kepada masalah bekalan air yang dihadapi penduduk kampung.

“Saya mohon kepada kerajaan supaya menyalurkan peruntukan membina paip-paip graviti yang belum ada paip graviti di kawasan saya dan memberi peruntukan membaik pulih paip-paip graviti yang rosak akibat musim tengkujuh baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Rubin turut mengulangi permintaannya agar padang bola sepak Pekan Kemabong dinaik taraf demi memudahkan aktiviti sukan dan bola sepak oleh belia di daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|