Hadi terus pertikai YDPA, semarakkan penderhakaan – Razeef Rakimin

Hadi terus pertikai YDPA, semarakkan penderhakaan – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terus mempertikaikan keputusan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, jelas menghina kebijaksanaan Ketua Utama Persekutuan itu serta Majlis Raja-Raja.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Razeef Rakimin berkata, sebelum ini, presiden PAS itu bukan saja bertindak biadap menolak titah YDPA untuk menubuhkan kerajaan perpaduan serta menyindir baginda sebagai ‘pengadil’ yang tidak adil kerana membantu pihak yang kalah.

Katanya, kali ini pula, kenyataan terbaru yang dikeluarkan presiden PAS itu seolah-olah mempertikai berkaitan dengan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar diberi pengampunan penuh oleh YDPA yang ketika itu Sultan Muhammad V dan menjelaskan bahawa beliau tidak memohon pengampunan kerana kesalahan yang sudah disabitkan kepadanya.

“Sebaliknya, Anwar menuntut kebebasan kerana fitnah dan salah guna kuasa serta perkara yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan perkara ini diterima oleh Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Malah Razeef berkata, ketika dibebaskan Anwar tidak menandatangani sebarang dokumen kerana menurut pegawai penjara rekodnya telah bersih daripada kesalahan dan rekod dipenjarakan.

“Saya melihat hampir setiap hari, Abdul Hadi menanam kebencian terhadap YDPA hanya kerana keputusan tidak memihak kepada beliau.

“Saya melihat tindakan ini hanya akan menghilangkan hormat penyokong PAS dan Perikatan Nasional (PN) terutama anak muda terhadap institusi diraja.

“Ini jelas satu penderhakaan dan cubaan menyemarakkan sifat derhaka terhadap Raja-Raja dalam kalangan rakyat,” katanya.

Razeef berkata, Abdul Hadi juga sering menyemaikan budaya takfiri iaitu mengkafirkan sesama Islam dengan sewenang-wenangnya menuduh seseorang Muslim sebagai kafir hanya kerana tidak sehaluan dalam politik dengan mereka.

Katanya, sejak peristiwa Memali, Abdul Hadi sering dikaitkan dengan doktrin esktrimis yang mengganggu gugat keamanan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan kepada Presiden PAS sebelum ketegangan memuncak.

“Sebagai umat Islam yang menetap di Sabah, saya belajar sikap toleransi antara kaun dan agama. Sikap kita sebagai penganut agama Islam adalah cerminan kepada agama islam yang akan dilihat dan dinilai penganut agama lain.

“Doktrin ekstrim dan penderhakaan yang cuba disemarakkan oleh Hadi Awang tidak sama sekali mencerminkan sifat seorang muslim apatah lagi seseorang yang mendapat gelaran ‘ulama’,” katanya.

Razeef berkata, sekiranya Abdul Hadi terus menanam kebencian di hati penyokong PAS dan PN, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan sesuatu yang lebih memudaratkan negara akan berlaku.

“Sehingga hari ini saya melihat beliau tidak berhenti menanam kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kaum lain kepada penyokong beliau dan ini boleh dilihat jelas melalui kenyataan-kenyataan yang beliau keluarkan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|