Persidangan DUN: Jalan rosak akibat banjir di Kemabong dan Tenom belum dibaiki

Persidangan DUN: Jalan rosak akibat banjir di Kemabong dan Tenom belum dibaiki

Kota Kinabalu: Jalan raya rosak akibat banjir besar yang melanda daerah kecil Kemabong dan Tenom pada tahun lalu didakwa belum dibaiki sepenuhnya, malah kini bertambah rosak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang, berkata keroskan itu diburukkan lagi dengan kejadian banjir di Kemabong pada Mei tahun ini.

Rubin (dua kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah.

Katanya, kerja pembaikan yang sepatutnya dibuat pihak konsesi tidak dilaksanakan menyebabkan penduduk terpaksa berdepan keadaan jalan raya yang tidak memuaskan.

“Tahun ini 2022, pada bulan Mei sekali lagi berlaku banjir di Daerah Kecil Kemabong, menambah lagi kerosakan jalan raya di kampung-kampung yang terkesan.

“Sedihnya, agensi atau jabatan serta konsesi yang terlibat tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membaik pulih jalan raya tersebut dengan alasan ketiadaan peruntukan dan dibiarkan begitu saja.

“Justeru saya telah menggunakan peruntukan ADUN namun tidak mencukupi kerana terlalu banyak prasarana yang rosak,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Berikutan itu, beliau memohon khasnya kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengambil tindakan serius untuk menyelenggara jalan raya yang rosak dengan kadar yang segera.

“Kesian rakyat terpaksa berjalan kaki dan mengangkat barangan mereka dengan tenaga sendiri tanpa kereta di beberapa tempat,” katanya.

Dalam isu berkaitan, Rubin turut membangkitkan isu perhubungan penduduk di sepanjang laluan kereta api Tenom – Pangi – Rayoh – Beaufort.

Beliau memohon kepada kerajaan supaya bertindak menyelesaikan jalan perhubungan rakyat, khususnya di kawasan Pangi dan Rayoh yang sekian lama menderita akibat masalah perhubungan kereta api.

Katanya pergantungan kepada kereta api menyukarkan mereka untuk keluar berurusan di mana-mana, jabatan kerajaan atau keluar ke bandar.

“Apatah lagi apabila berlaku kecemasan sangat sukar, mereka terpaksa menggunakan troli walaupun dalam keadaan merbahaya.

“Jadi, selesaikanlah cepat masalah mereka sama ada dengan membina jalan raya Tenom – Beaufort seperti yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2001( 24hb-25hb April) agar dikaji semula untuk dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Rubin turut meminta perhatian kerajaan supaya mempercepatkan pembinaaan Jalanraya Gumisi-lnubai,Tenom yang menghubungkan Tenom dengan daerah kecil Kemabong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|