Persidangan DUN: Liputan 4G di Sabah meningkat kepada 88.06 peratus

Persidangan DUN: Liputan 4G di Sabah meningkat kepada 88.06 peratus

Kota Kinabalu: Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 bagi memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 90 peratus di kawasan yang berpenduduk di Sabah semakin hampir mencapai sasaran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan berkata, setakat ini, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah telah meningkat kepada 88.06 peratus.

“Selain itu, sebanyak 154 buah daripada 611 buah menara baharu yang dirancang telah siap dibina.

“Sebanyak 3,810 buah menara telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,984 buah menara yang dirancang.

“Manakala, sebanyak 134,116 premis daripada 251,165 premis telah disediakan sambungan gentian optik berkelajuan Gigabit dan sebanyak 138 buah projek jalur lebar satelit yang telah siap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2023 bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam pada itu, Yakub berkata, Sabah dijangka mencapai tahap 100 peratus kesalinghubungan menjelang akhir 2025.

Beliau berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memasang 300 VSAT pada tahun 2023 untuk mengatasi masalah kesalinghubungan di luar bandar.

“Kita akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar melalui pelaksanaan JENDELA Fasa 1.

“Pelan JENDELA bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti serta mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|