Persidangan DUN: Sasaran 1.3 juta pelancong dicapai Oktober lalu

Persidangan DUN: Sasaran 1.3 juta pelancong dicapai Oktober lalu

Kota Kinabalu: Sabah berjaya mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 1.3 juta orang bagi tahun ini pada Oktober lalu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia membabitkan kedatangan seramai 1,356,056 pelancong atau pelawat.

Datuk Joniston Bangkuai.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 752.9 peratus berbanding tahun lalu dan berjaya menjana kira-kira RM2.4 bilion nilai perbelanjaan pelancongan di negeri ini.

“Sektor pelancongan domestik menjadi penyumbang yang terbanyak iaitu seramai 1,180,050 pelawat manakala pelancong antarabangsa direkodkan seramai 176,009 orang.

“Peningkatan yang ketara ditunjukkan bagi beberapa pasaran antarabangsa seperti negara Singapura, Brunei dan beberapa pasaran Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Belanda.

“Masing-masing mencatat peningkatan antara 43 peratus sehingga 65 peratus daripada paras pra pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Joniston berkata, peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah sejak pembukaan pintu sempadan pada April lalu didorong jaringan pengangkutan udara yang semakin positif.

Katanya, ketika ini Sabah menerima 354 penerbangan domestik dengan kapasiti 57,991 tempat duduk setiap minggu dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

Bagi penerbangan antarabangsa, katanya Sabah dihubungkan dengan penerbangan terus dari lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan Bangkok dengan 47 penerbangan seminggu berkapasiti 8,558 tempat duduk.

Beliau berkata, Sabah juga dijangka memperoleh penerbangan antarabangsa tambahan dari Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong mulai Disember ini yang akan menjadikan 71 penerbangan antarabangsa seminggu mulai Januari depan.

Tambahnya, sektor penerbangan domestik Sabah dijangka mempunyai tambahan perkhidmatan penerbangan baharu daripada MY Airline yang dijadual memulakan penerbangan dua kali sehari mulai 1 Disember ini.

“Pengembangan rangkaian udara akan terus menjadi agenda terpenting pada tahun depan di samping pelbagai inisiatif serta insentif yang dirancang tahun ini akan diteruskan pada tahun depan.

“Ini untuk menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu mahupun mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|