Persidangan DUN: Saya bukan ‘historian’ – Masidi

Persidangan DUN: Saya bukan ‘historian’ – Masidi

Kota Kinabalu: “Saya bukan ‘historian’ (ahli sejarah), saya lebih suka melakukan kerja saya dan menyelesaikan masalah sekarang,”.

Demikian tegas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, berhubung isu kerosakan Pasar Karamunting di Sandakan.

Beliau menegaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Hiew Vun Zin (WARISAN – Karamunting) sama ada kerajaan negeri melakukan siasatan terhadap punca kerosakan pasar berkenaan.

Masidi berkata, seorang sejarahwan menghabiskan banyak masa untuk melihat apa yang berlaku pada masa lalu.

“Namun, saya menghabiskan masa saya untuk melihat apa yang berlaku sekarang.

“Jadi, jawapan ringkas saya ialah kalau ada unsur penyelewengan, saya ingat tanggungjawab kita ialah untuk melapor kepada pihak yang berkenaan.

“Tapi, saya lebih suka kalau tumpuan dan masa saya ditumpukan kepada menyelesaikan masalah. Masalahnya ialah pasar itu sudah tidak sesuai.

“Apa berlaku pada masa lalu itu satu pengajaran kepada kita dan kalau ada unsur salah guna kuasa itu urusan lain, bukan lagi urusan saya, tapi urusan pihak yang berwajib,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Vun Zin, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasnih, berkata Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bekerjasama dengan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) bagi mengenal pasti tapak baharu Pasar Karamunting.

“Pihak Majlis sedang bekerjasama dengan pihak PPHT untuk mengenal pasti beberapa tapak alternatif yang sesuai bagi pembinaan Pasar Karamunting yang baharu.

“Sementara mendapatkan lokasi baharu, pihak Majlis akan meneruskan kerja-kerja baik pulih ke atas Pasar Karamunting sedia ada,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|