PPM Sabah catat RM24.1 juta rampasan, kompaun sejak Januari

PPM Sabah catat RM24.1 juta rampasan, kompaun sejak Januari

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah merekodkan jumlah keseluruhan rampasan dan kompaun mencecahkan RM24 juta, bermula Januari hingga November tahun ini.

Mengikut kepada pecahan jumlah keseluruhan itu membabitkan RM23.7 juta rampasan manakala selebihnya adalah hasil kompaun.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, tangkapan bagi Akta Perikanan 1985 mencatatkan rampasan tertinggi dengan jumlah RM13.9 juta dan saman sebanyak RM43,000.

Katanya, ia diikuti dengan rampasan membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu sebanyak RM5.2 juta sepanjang tahun ini.

“Bagi Akta Kastam 1967, ia turut merekodkan rampasan sebanyak RM2.3 juta dan diikuti rampasan lain iaitu RM861,134 bagi Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (MSO).

“Begitu juga dengan Akta Penjualan Dadah 1952 membabitkan Peraturan Penjualan Dadah dan Kosmetik 1984 atau Akta Farmasi 1952 yang mencatatkan rampasan sebanyak RM220,946,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perhimpunan bulanan PPM Wilayah Empat, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, walaupun jumlah keseluruhan rampasan dan kompaun kurang berbanding RM30.5 juta tahun lalu, namun pihaknya mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Katanya, jumlah keberhasilan tahun ini meningkat kepada 1,490 kes berbanding hanya 1,357 tahun lalu.

“Begitu juga dengan catatan MSO 1960 yang paling banyak direkodkan sehingga mencecah 917 kes.

“Ini diikuti dengan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu sebanyak 249, Akta Kawalan Bekalan 1961 (97kes), Akta Perikanan (103 kes) membabitkan pelanggaran syarat 93 kes dan bom ikan 10 kes.

“Bagi kes-kes lain pula mencatatkan kurang daripada 40 kes,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, daerah Semporna dan Tawau merekodkan penambahan keberhasilan berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daerah Semporna mencatatkan 331 kes tahun ini berbanding 265 tahun lalu manakala Tawau pula bertambah 34 dengan jumlah keseluruhan 302 kes.

“Untuk rekod bilangan pemeriksaan kapal pula meningkat kepada 27,587 kapal tahun ini berbanding 16,349 kapal tahun lalu.

“Begitu juga dengan pemeriksaan individu yang meningkat kepada 97,528 individu tahun ini berbanding 52,590 tahun lalu,” katanya.

Ahmad berkata, Markas Operasi (MO) Semporna merekodkan pemeriksaan kapal paling tinggi iaitu sebanyak 6,635 kapal dan 20,678 pemeriksaan individu.

Manakala katanya, MO Kota Kinabalu pula direkodkan sebagai kedua tertinggi dengan 5,013 pemeriksaan kapal dan 26,736 pemeriksaan individu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|