Persidangan DUN: 5,824 lesen perikanan dikeluarkan setakat Ogos lalu

Persidangan DUN: 5,824 lesen perikanan dikeluarkan setakat Ogos lalu

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan telah mewujudkan program pelesenen alat perikanan di Sabah dalam usaha memperkasa aktiviti nelayan kecil dan tradisi.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib berkata, setakat bulan Ogos 2022, Jabatan Perikanan Sabah telah mengeluarkan sebanyak 5,824 lesen perikanan di seluruh negeri.

“Bermula pada tahun 2023, melalui Program Pelesenen Alat Tradisi, ukuran panjang bot yang dibenarkan untuk dilesenkan telah dinaikkan daripada 11 meter kepada 15 meter dan berenjin tidak melebihi 200 kuasa kuda.

“Dengan adanya bot perikanan yang lebih besar, para nelayan tradisi lebih berpeluang untuk memungut hasil yang lebih banyak,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Warisan – Tungku) mengenai rancangan kerajaan bagi memperkasa aktiviti nelayan kecil dan tradisi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah turut mengeluarkan Kad Pendaftaran Nelayan (KPN) di mana sehingga bulan November 2022, sebanyak 8,581 telah dikeluarkan di negeri ini.

“Dengan adanya KPN, para nelayan layak memohon bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan dan juga subsidi minyak agar dapat meringankan beban.

“Para nelayan tradisi diberi latihan dan pelbagai jenis insentif untuk memantapkan pengetahuan dan kecekapan dalam aktiviti penangkapan ikan.

“Di samping itu, pembangunan industri hiliran di semua daerah juga dipergiatkan bagi membantu pengusaha produk berasaskan perikanan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Assaffal mengenai pelan strategik dalam mempastikam usaha memperkasa nelayan akan berjaya di masa akan datang, James berkata satu pelan baharu telah dirangka.

“Pihak Kementerian telah merangka satu pelan baharu di mana kita akan melahirkan lebih ramai nelayan-nelayan di bawah B40 dan kita akan memberikan bantuan kepada mereka.

“Terutama sekali bot-bot atau bot fiber agar lebih ramai nelayan-nelayan akan berkecimpung dalam pemungutan hasil laut,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|