Persidangan DUN: Kerajaan negeri kaji naikkan elaun pelajar BKNS, Biasiswa Yayasan Sabah

Persidangan DUN: Kerajaan negeri kaji naikkan elaun pelajar BKNS, Biasiswa Yayasan Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Biasiswa Yayasan Sabah sedang mengkaji untuk menaikkan kadar elaun biasiswa kepada pelajar-pelajar, sesuai dengan keadaan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, Kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh pelajar dari luar bandar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Disamping itu, zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Bahagia Zakat & Fitrah sedang menjalankan semakan semula kadar dermasiswa zakat agar selaras dengan elaun dengan jumlah yang ditawarkan oleh BKNS,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Jannie Lasimbang (DAP – Kapayan) mengenai usaha membantu pelajar institusi tinggi dari luar bandar yang melanjutkan pelajaran di IPTA/IPTS untuk menjamin kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya turut menyediakan beberapa bantuan bagi mengurangkan beban perbelanjaan mereka.

Menurutnya, pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk melaksanakan program tersebut.

“Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) iaitu bantuan tunai sebanyak RM2,000.00 diberikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dan RM1,500.00 bagi Diploma/Asasi/Matrikulasi.

“Manakala, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) iaitu bantuan pemberian komputer (Laptop) di kalangan pelajar-pelajar anak Sabah di bawah e-Kasih Miskin Tegar yang sedang belajar di IPT/Sekolah yang tidak mampu membeli komputer untuk tujuan pembelajaran. Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 1 juta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|