Persidangan DUN: Satu lagi syarikat belum bayar cukai jualan produk petroleum – Masidi

Persidangan DUN: Satu lagi syarikat belum bayar cukai jualan produk petroleum – Masidi

Kota Kinabalu: Sebuah lagi syarikat berkaitan minyak dan gas yang beroperasi di Sabah belum menunaikan cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum yang dikeluarkan syarikat terbabit.

Menteri Kewangan II negeri, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun berkata rundingan dengan syarikat terbabit sudah mencapai penyelesaian di mahkamah.

Masidi berkata keengganan syarikat terbabit melangsaikan cukai sebelum ini disebabkan pertikaian perundangan.

“Ada sebuah syarikat masih enggan membayar CJN dan rundingan masih dijalankan, kebanyakannya berlegar mengenai isu perundangan.

“Namun, pagi ini di mahkamah, kerajaan negeri dan syarikat terbabit sudah mencapai penyelesaian mengenai isu itu,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Yong Teck Lee (SAPP – ADUN Dilantik) mengenai syarikat minyak dan gas yang masih enggan membayar CJN produk petroleum sejak cukai itu dikuatkuasakan pada April 2020.

Terdahulu, Masidi berkata dua syarikat minyak dan gas beroperasi di negeri ini iaitu Repsol Oil & Gas Ltd dan Sea Hibiscus Sdn Bhd yang sebelum ini turut dilaporkan enggan membayar CJN sudah melangsaikan tunggakan masing-masing pada Oktober lalu.

“Syarikat Repsol Oil & Gas Ltd dan Sea Hibiscus Sdn Bhd tidak lagi mempunyai hutang cukai jualan negeri, kerana pada 3 Oktober 2022 kedua-dua syarikat sudah membayar tunggakan CJN berjumlah RM79.41 juta.

“Sea Hibiscus Sdn Bhd membayar RM 70.05 juta, manakala Repsol Oil & Gas Ltd membayar RM 9.36 juta.

“Kedua-dua pihak syarikat juga sekarang sudah mula membuat bayaran bagi cukai semasa,” katanya.

Menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Asaffal Alian (WARISAN – Tungku) mengenai keengganan syarikat terbabit membayar CJN sebelum ini, Masidi menjelaskan ia lebih kepada pertikaian mengenai soal perundangan.

“Pada mulanya ada isu perundangan yang dipertikaikan mereka tapi kita sudah menjelaskan dan kita (kerajaan negeri) juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Akhirnya, mereka akur juga dengan tuntutan kerajaan negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|