Kota Kinabalu: Peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang ketara mencetus kerisauan pada hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Raime Unggi berkata, ia amat membimbangkan khususnya bagi golongan marhaen dan rentan.
“Peningkatan kos sara hidup yang drastik ini amat mengganggu situasi rakyat akibat ketidakcukupan pendapatan untuk menampung keperluan asas serta bebanan hutang yang ditanggung bagi menampung kenaikan kos barangan, perkhidmatan dan juga keperluan harian.
“Meskipun pertumbuhan ekonomi sudah membaik dan memperoleh momentum ke arah pemulihan secara beransur-ansur.
“Namun, negara kita antara negara yang mencatat kadar hutang isi rumah yang tinggi di rantau Asia iaitu 84.5 peratus berbanding Singgapura 69.7 peratus, Indonesia 17.2 peratus dan Filipina 9.9 peratus.
“Jumlah hutang tersebut merangkumi pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, pinjaman kereta, hutang kad kredit dan hutang lain-lain.
“Ini merupakan petanda kurang baik yang akan mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi, sosial dan pengangguran,” katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Sehubungan itu, beliau ingin tahu langkah komprehensif daripada kerajaan bagi menangani masalah ini dalam jangka masa pendek dan panjang.
“Oleh itu, adakah kerajaan bercadang untuk mengadakan perundingan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari solusi menangani keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat.
“Di samping jabatan atau agensi berkaitan perlu kerap turun padang secara mengejut untuk memantau harga barang serta mengambil tindakan tegas kepada pembekal, orang tengah dan peruncit supaya tidak memanipulasikan harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.
“Mungkinkah dasar-dasar dan akta kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri seperti Kawalan Harga, Anti Pencatutan, dan Akta Persaingan kurang berkesan atau tidak mencukupi untuk mengawal kenaikan harga barang dan rantaian bekalan?,” katanya.
Tambah Raime, semua sedia maklum bahawa ia bukan isu yang mudah untuk ditangani.
“Namun, di saat kita mengharungi keadaan yang serba mencabar ini, kita mahu tema bajet Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera dapat meleraikan bebanan ekonomi rakyat dan juga benar-benar dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat, bukan sebaliknya,” katanya lagi.
-Deasoka