Mantiq Hadi seolah menanam kebencian terhadap Agong – Razeef Rakimin

Mantiq Hadi seolah menanam kebencian terhadap Agong – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan kenyataan menggunakan kiasan bola sepak, dilihat sebagai cubaan menanam kebencian terhadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan, Razeef Rakimin berkata, walaupun ketika ini adalah musim Piala Dunia, namun semua sedar, Hadi bukan seorang yang peduli isu bola sepak.

Katanya, tindakannya mempersoalkan sama ada adilkah ‘pengadil’ mengalih tiang gol bagi yang kalah cukup jelas.

“Setelah diteliti kiasan panjang ini tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku sepanjang Piala Dunia FIFA mahupun perlawanan Selangor menentang Johor Darul Takzim.

“Namun ‘pengadil’ yang beliau sifatkan sebagai tidak adil jelas merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Razeef berkata, apa yang dibimbangi generasi muda terutama yang menyokong Perikatan Nasional (PN) akan hilang hormat terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

“Doktrin sebegini sangat bahaya. Sudah tentu jika perkara ini berlaku, Hadi Awang akan ‘lepas tangan’ seperti mana yang berlaku dalam Peristiwa berdarah Memali yang terpengaruh dengan ‘Amanat Hadi’.

“Pemimpin-pemimpin lain PAS juga dilihat senada dengan Hadi Awang. Walau hanya berkata dalam bentuk kiasan, namun ia sangat mudah diterjemahkan terutama dalam sindiran terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Razeef berkata, antara sebab pada awalnya pihak tidak bersetuju dengan wujudnya parti politik berasaskan agama adalah kerana akan wujud pemimpin seperti Abdul Hadi yang ‘melacurkan’ agama demi kepentingan politik peribadi.

“Dan ini hanya akan menimbulkan persepsi negatif penganut agama lain terhadap agama Islam.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap Abdul Hadi Awang bagi mengelak perkara buruk berlaku. Kita khuatir kiasan beliau yang biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong akan menjadi ‘Amanat Hadi 2.0’.

“Ia juga akan menjadi doktrin dalam kalangan penyokong PAS dan PN untuk membenci dan menderhaka kepada Yang diPertuan Agong,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|