Kota Kinabalu: Projek pelaksanaan rangkaian 5G sedang dijalankan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) secara berfasa, bermula dengan kawasan-kawasan yang mempunyai tarikan aktiviti ekonomi tinggi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, ini kerana teknologi 5G akan memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri.
Menurut beliau, bagi kawasan Karamunting, sebanyak empat tapak 5G telah dirancang di bawah Fasa 2.
“Antara lokasinya adalah SK Karamunting, Jalan Pelabuhan Baru, Lorong Bandar Nam Tung dan Lorong Leila 3. Kesemua tapak ini masih dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2023.
“Sementara itu, perkhidmatan 5G hanya boleh digunakan sekiranya peranti pengguna mampu menyokong perkhidmatan tersebut.
“Antara syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan 5G di negara ini adalah YES, Celcom, Digi, UMobile dan Telekom Malaysia. Setakat ini, Kerajaan belum menetapkan panduan pelan harga perkhidmatan 5G,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hiew Vun Zin (WARISAN – Karamunting) mengenai jumlah menara telekomunikasi 5G yang akan dibina di kawasan Karamunting dan usaha kerajaan memastikan pelan-pelan rangkai 5G telefon mudah-alih boleh dilayari dengan harga berpatutan dan akses yang mudah.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Yusof Yacob (BN – Sindumin), mengenai rancangan menyelesaikan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai rangkaian, beliau berkata bahawa pihak kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyedari akan masalah ini.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah bagi mengatasi dan membina serta pembangunan telekomunikasi di negeri ini berada dalam pemerhatian serius kementerian.
“Proses melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan dan pembinaan baharu telekomunikasi kita mempunyai kekangan yang tersendiri.
“Kementerian telah membentuk satu jawatankuasa yang dipanggil ‘one stop agency’ semata-mata untuk kita menyelesai dan mencari penyelesaian segera ke atas masalah-masalah yang timbul.
“InsyaAllah, sebenarnya kita perancangannya dalam bulan April atau selewat-lewatnya bulan Jun, program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat kita lengkapkan,” katanya lagi.
-Deasoka