Kota Kinabalu: Kerajaan akan menentukan perancangan masa hadapan semua lapangan terbang di negeri ini selepas kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan dimuktamadkan pada September 2023.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia termasuk Lapangan Terbang Tawau yang dicadang untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang.
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang dijangka akan dimuktamadkan pada bulan September tahun 2023.
“Berdasarkan hasil kajian ini nanti akan membantu kerajaan dalam menentukan perancangan masa hadapan bagi lapangan-lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Tawau dengan lebih jelas dan efektif berdasarkan evidence based planning,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau menjawab soalan Justin Wong (WARISAN – Sri Tanjong) dan Rina Jainal (PHRS – Kukusan) mengenai usaha menaiktaraf Lapangan Terbang Tawau bagi meningkatkan kapasitinya.
Joniston berkata, penaiktarafan lapangan terbang bukan sahaja di Tawau, malah keseluruhan lapangan terbang utama di negeri ini menjadi agenda yang sentiasa diutamakan kerajaan Negeri.
Katanya, bagi Lapangan Terbang Tawau, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Lapangan Terbang Tawau pada 2020 ketika merancang program pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Kajian itu, katanya bagi mengenal pasti keperluan jangka panjang Lapangan Terbang Tawau sehingga tahun 2050.
“Berdasarkan kajian ini, Malaysia MAHB telah mencadangkan supaya Lapangan Terbang Tawau dinaik taraf daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 2.5 juta penumpang setahun.
“Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 telah memberi kesan negatif terhadap industri penerbangan negara. Dalam hubungan ini, syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa sehingga 2025 untuk pulih sepenuhnya, tertakluk kepada situasi semasa penularan Covid-19 di dalam dan luar negara,” katanya.
Jelasnya, jumlah penumpang Lapangan Terbang Tawau menunjukkan penurunan ketara pada 2020 dan 2021 iaitu masing-masing mencatatkan sebanyak 0.5 juta dan 0.4 juta penumpang berbanding pada 2019 yang mencatatkan sebanyak 1.8 juta penumpang.
Berdasarkan statistik penumpang terkini, katanya, kapasiti pengendalian penumpang Lapangan Terbang Tawau pada hari ini masih mampu menampung keperluan permintaan sedia ada.
“Sungguhpun pandemik Covid-19 telah memberi kesan negatif terhadap industri penerbangan negara, kerajaan negeri melalui kementerian saya sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap keperluan penambahbaikan dan penaiktarafan lapangan terbang di negeri ini,” katanya.
-Deasoka