Persidangan cawangan UMNO platform kukuhkan parti hadapi PRU-15 – Bung Moktar

Persidangan cawangan UMNO platform kukuhkan parti hadapi PRU-15 – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Persidangan Cawangan, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh negara yang membuka tirainya semalam dan berakhir 18 September depan menjadi platfrom terpenting parti politik terbesar itu untuk memperkukuh solidariti dan mencatur strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata persidangan di peringkat cawangan merupakan medan yang amat penting bagi agenda pemperkukuhkan parti.

Sehubungan itu, katanya semua ahli UMNO perlu bersatu hati memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan mesyuarat di peringkat cawangan masing-masing.

“Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bermula Isnin, 15 Ogos sehingga 18 September 2022.

“Pemimpin dan ahli parti di peringkat akar umbi perlu memahami persidangan kali ini merupakan medan yang amat penting untuk membincangkan agenda memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi PRU-15,” katanya dalam perutusannya sempena mesyuarat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang bermula 15 Ogos sehingga 18 September depan.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ahli parti perlu membulatkan tekad dan semangat serta bersatu hati agar parti keramat UMNO sentiasa menjadi tunjang rakyat demi menjunjung kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta.

Beliau berkata, berlatar belakang cabaran yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) lalui selepas kekalahan pada PRU-14 dan cabaran mendatang dari dalam dan luar parti serta pelbagai isu yang membelenggu rakyat, mesyuarat cawangan kali ini perlu menangani segala permasalahan yang timbul untuk membentuk mentaliti menang bagi mengembalikan UMNO BN ke era kegemilangan.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan turut menegaskan pentingnya semangat mentaliti menang dibentuk dalam kalangan ahli parti.

“Perkara yang penting sekarang dalam UMNO ialah kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan, cakna kepada ahli di peringkat akar umbi, dekati mereka. Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, anjurkan program yang boleh merapatkan hubungan silatulrahim di kalangan ahli,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut menyentuh persediaan PRU-15, katanya UMNO tidak boleh bergerak sendirian, sebaliknya perlu melibatkan komponen BN yang ada di bahagian masing-masing.

Jelasnya, walaupun bilangan ahlinya jauh lebih kecil berbanding UMNO, namun penglibatan parti komponen BN dalam konsep kerja berpasukan penting untuk memastikan kemenangan UMNO BN pada PRU-15.

“Seharusnya jawatankuasa BN sudah dibentuk dari sekarang di semua bahagian, jawatankuasa kerjanya sudah disusun. UMNO walaupun satu komponen terbesar di sesuatu bahagian tapi sumbangan parti lain dari komponen BN perlu dilibatkan sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|