Lelaki ditahan bersama 5,000 liter minyak diesel yang cuba diseleweng

Lelaki ditahan bersama 5,000 liter minyak diesel yang cuba diseleweng

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan satu lagi kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di Kampung Biah, Keningau, semalam.

Dalam serbuan pada jam 7.45 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas 5,000 liter minyak diesel yang dibawa menggunakan lori tangki dan tong drum.

Pasukan operasi KPDNHEP menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di Kampung Biah, Keningau.

Semua minyak diesel yang dipercayai akan dijual kepada pihak industri itu dirampas bersama tiga lori dan peralatan yang disyaki digunakan untuk menyeleweng serta tong drum serta skid tank.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, semasa serbuan dijalankan, seorang pekerja didapati sedang sibuk memindahkan barang kawalan berkenaan.

Katanya, lelaki tempatan terbabit terus ditahan untuk diambil keterangan bagi siasatan dan tindakan selanjutkan.

“Semua minyak dan kenderaan serta peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai keseluruhan berjumlah RM128,750.

“Berdasarkan siasatan awal, pekerja terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

Katanya, siasatan turut dijalankan bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu Georgie berkata, KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu juga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui Whatsapp ditalian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

“Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|