Kekal fokus, pastikan Sabah FC kutip mata penting malam esok – Kim Swee

Kekal fokus, pastikan Sabah FC kutip mata penting malam esok – Kim Swee

Kota Kinabalu: Pemain Sabah FC diingatkan supaya tidak leka selepas mencatat kemenangan berganda dalam beberapa siri perlawanan lalu dan perlu fokus menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pemain perlu bekerja keras untuk memastikan Sabah FC tidak tercicir dan kehilangan mata penting pada malam esok.

Katanya, mereka tidak boleh mengambil kira faktor apa berlaku sebelum ini termasuk kejayaan menewaskan KDA FC di Stadium Likas pada perlawanan lalu.

“Itu adalah jangka masa yang cukup lama lebih-lebih lagi KDA FC baru tersingkir daripada peringkat separuh akhir Piala AFC baru-baru ini.

“Sudah pasti KDA FC ingin membuktikan mereka masih mampu bersaing…kita percaya KDA FC juga merupakan antara pasukan yang terbaik dalam Liga Super musim ini.

“Kita tidak boleh memikirkan tentang apa perkara akan berlaku selepas ini terutamanya kepada pesaing terdekat Negeri Sembilan kerana mereka kini berada di belakang Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC harus mengekalkan prestasi serta konsisten untuk mendapatkan mata bagi memastikan mereka berada dalam landasan betul untuk mencapai sasaran dan matlamat ditetapkan.

“Untuk pemain Sabah FC kerap kali saya katakan…kita tidak boleh terlalu mengambil mudah dengan mana-mana pasukan sekalipun.

“Ini termasuk pasukan berada pada teratas liga atau pun pasukan yang berada di bawah liga,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh sama anak-anak buahnya perlu mengekalkan corak permainan sepertimana dibuktikan sebelum ini.

“Komitmen setiap pemain sama ada bermain ataupun berada di bangku simpanan dan berada di luar senarai harus mempunyai mentaliti cukup tinggi.

“Ini bagi memastikan Sabah FC layak beraksi di peringkat yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|