Peringatan kepada pencarum KWSP, jangan jadi mangsa sindiket penipuan

Peringatan kepada pencarum KWSP, jangan jadi mangsa sindiket penipuan

Sandakan: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu mengeluarkan simpanan sebanyak RM10,000 dinasihatkan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Ketua Masyarakat Cina kawasan Elopura, Kapitan James Leong Tshun Kian berkata, saranan berkenaan dibuat selepas mendapat maklum balas berhubung peningkatan mangsa panggilan scam.

James Leong Tshun Kian

“Berhati-hati dan jangan mudah percaya pada panggilan telefon yang anda terima sehingga tertipu semua wang hasil titik peluh anda.

“Ia kerana, sindiket scam sentiasa akan berusaha untuk mengambil peluang ‘mencari’ mangsa untuk keuntungan mudah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

James berkata, menurut kepada kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tindakan melayan panggilan atau sistem pesanan ringkas (sms) daripada pihak tidak dikenali antara punca ramai yang terus menjadi mangsa sindiket scam.

Katanya, perbuatan itu mendedahkan mangsa kepada manipulasi sindiket scam yang menggunakan pelbagai modus operandi hingga terjerat dan mengalami kerugian.

“Langkah terbaik bagi mengelak ditipu adalah dengan tidak melayan panggilan atau sms yang mencurigakan walaupun pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau pegawai mana-mana agensi kerajaan.

“Berdasarkan kes sebelum ini, ada pemanggil yang mendakwa sebagai pegawai Bank Negara, syarikat penghantaran ekspress dan pelbagai lagi agensi lain,”katanya.

James berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah mendedahkan butiran peribadi dan maklumat akaun bank.

“Semak dengan pihak yang bertanggungjawab terlebih dahulu. Jangan menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana individu yang melalui nombor diberikan.

“Sebaliknya, hubungi nombor rasmi agensi berkenaan bagi mengelakkan daripada tertipu,”, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|