Bomba berjaya pujuk wanita dipercayai cuba terjun dari tingkat tiga

Bomba berjaya pujuk wanita dipercayai cuba terjun dari tingkat tiga

Tuaran: Tindakan pantas anggota bomba yang memujuk seorang wanita dipercayai cuba terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Taman Telipok Ria, di sini, berjaya menyelamatkan nyawa wanita terbabit, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, wanita berusia 31 tahun berdiri di kawasan koridor di tingkat tiga dipercayai mahu terjun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang.

Katanya, sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dilaporkan terdapat seorang wanita dipercayai cuba untuk terjun dari bangunan tingkat tiga.

“Wanita terbabit berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.23 petang tadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|