15 pasukan berentap dalam Liga Futsal KK Julai depan

15 pasukan berentap dalam Liga Futsal KK Julai depan

Kota Kinabalu: Sebanyak 15 pasukan bakal berentap pada kejohanan Liga Futsal Kota Kinabalu (KKFL) 2022 yang dijangka bakal dianjurkan, Julai depan.

Pengerusi KKFL, Mohamad Mizan Rashidi berkata, pertambahan tiga pasukan baharu itu adalah pembaharuan penganjuran berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan 12 pasukan.

Pengerusi KKFL, Mohamad Mizan Rashidi

Katanya, ketiga-tiga pasukan itu dipilih berdasarkan kepada perlawanan pra musim KKFL yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ikatan Muafakat Anak Sabah (PIMAS) di Arena Futsal Yayasan Sabah, di sini.

“Sirkit pertama pra musim ini diadakan pada 28 Januari hingga 13 Februari lalu dan bagi sirkit kedua pula diadakan bermula semalam dan hari ini.

“Keputusan untuk menambahkan kepada 15 pasukan dalam kejohanan ini adalah mengikut kepada sistem Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang diadakan di ibu negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat memutuskan tarikh kejohanan serta melakukan persiapan yang sepatutnya.

Sementara itu, kejohanan pra musim KKFL menyaksikan tiga daripada lapan pasukan bertanding layak ke kejohanan KKFL.

Tiga pasukan berkenaan adalah AR Futsal Team, ARMADA Putatan, Emossi GFC F.T yang masing-masing berjaya mengumpulkan mata bagi mengisi tiga tempat teratas liga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|