Tenom: Mahkamah Majistret Tenom, di sini, hari ini, menetapkan 1 hingga 5 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew.
Majistret Nur Asyraf Zolhani turut membenarkan permohonan bagi menjalankan perbicaraan 11 pertuduhan itu secara bersama.
Ebit Lew, 37, sebelum ini didakwa atas 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan mengemukakan permohonan bagi menjalankan perbicaraan 11 pertuduhan itu bersama kerana bukti dan saksi bagi kesemua pertuduhan saling berkait.
Peguam yang mewakili Ebit Lew, Ram Singh tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu selagi ia membabitkan seorang pengadu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Muhammad Ilmami Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli manakala Ebit turut diwakili dua lagi peguam, Kamaruddin Mohmad Chinki dan Timothy Daud.
Pada Februari lalu Ebit Lew mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Litar Tenom.
-Deasoka