Maritim Malaysia tingkatkan operasi di perairan Sabah menjelang Aidilfitri

Kota Kinabalu: Tiada apa yang berubah, malah operasi penguatkuasaan terutama disetiap ‘titik panas’ di perairan Sabah akan terus ditingkatkan menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Demikian tegas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (Maritim) Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam memastikan perairan negeri ini selamat dan sejahtera.

Datuk Mohd Rosli Abdullah ketika sidang media di kapal KM Arau pada Program Penggambaraan Aktiviti Berbuka Puasa.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengukuhkan kawalan keselamatan dengan memastikan kesiapsiagaan aset-aset dan anggota berada ditahap yang tertinggi berikutan Operasi Khas Pagar Laut 1/2022 yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada 14 April lalu.

“Fokus terhadap penguatkuasaan dan operasi terutama di setiap titik panas di sekitar perairan Sabah serta langkah pencegahan yang efektif akan dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan Sabah terus terpelihara.

Datuk Mohd Rosli Abdullah pada Program Penggambaraan Aktiviti Berbuka Puasa di kapal KM Arau.

“Operasi yang bermula pada 19 April hingga 17 Mei 2022 ini bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam sidang media selepas Program Penggambaran Aktiviti Berbuka Puasa di Kapal KM Arau di perairan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Selain itu, turut diadakan Majlis Penyerahan Bingkasan Raya kepada Pengarah Zon Maritim (ZM).

Datuk Mohd Rosli Abdullah (kanan) memberikan bingkasan kuih raya kepada Pengarah Zon APMM pada Program Penggambaraan Aktiviti Berbuka Puasa di kapal KM Arau.

Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, musim perayaan ini seringkali digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta jenayah-jenayah laut yang lain.

“Kita melihat apabila menjelangnya musim-musim perayaan, masyarakat berpandangan bahawa dengan kesibukan, pasukan keselamatan juga akan leka dan turut meraikan perayaaan, tetapi hakikatnya tidak.

Progarm Penggambaraan Aktiviti Berbuka Puasa di kapal KM Arau di perairan Kota Kinabalu.

“Dalam musim perayaan seperti ini, kita lebih lipat gandakan operasi walaupun ada anggota yang bercuti tetapi tidak akan jejaskan sebarang operasi yang dirancang dan kita laksanakan,” katanya.

Menurutnya lagi, perairan Sabah adalah kawasan yang mudah dihubungkan dengan kenderaan laut untuk ke negara jiran.

“Faktor ini adalah cabaran serta tanggungjawab Maritim Malaysia Sabah berhadapan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan meliputi penyeludupan seperti kontraband, pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah serta kawalan bersubsidi,” katanya.

Jelas beliau lagi, selain tugas penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan perairan sentiasa aman dan selamat yang menjadi tugas utama, Maritim Malaysia juga sentiasa bersedia untuk mengarahkan aset-aset laut bagi melaksanakan tugas-tugas Carilamat.

“Terdahulu, pada minggu kedua ramadan, sebuah bot yang membawa 20 orang penumpang telah karam di perairan Semporna dan mengorbankan seorang remaja perempuan serta enam kanak-kanak.

“Kejadian ini diharap menjadi pedoman serta pengajaran buat komuniti maritim agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga ketika di laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim di negeri ini dan Labuan untuk terus menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku jenayah laut dan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Malaysia Sabah dan Labuan ditalian 088-387774 dan talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|